Tuesday, September 1, 2009

Tanggungjawab Anak Menjaga Ibu Bapa Lanjut Usia

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalaamu 'alaikum wr wb.

Berikut adalah petikan dari Berita Minggu tanggal 30 Ogos 2009, bahagian SPEKTRA lensa kehidupan.

"Tangan inilah yang membesarkan mereka. Tangan inilah yang digunakan juga untuk mencari nafkah keluarga. Saya sedih betul kerana selepas membesarkan dan memberikan pendidikan serta menguruskan semua hal rumah tangga tanpa seorang suami, saya dihantar ke mari (rumah tumpangan Orang-Orang Tua Pertapis di Toa Payoh)." - Keluhan ibu terbuang.

Saya terpanggil untuk menulis tentang tajuk di atas berikutan kenyataan di dalam akhbar tersebut yang sungguh menyentuh naluri keibuan saya.

Mutaakhir ini, terdapat ramai anak-anak yang tidak mahu lagi menjaga ibu bapa mereka yang sudah lanjut usia. Ibu bapa mereka itu dihantar ke rumah tumpangan Orang-Orang Tua dengan pelbagai alasan yang kalau diamat-amati boleh diatasi. Bukankah tanggungjawab menjaga kedua ibu bapa itu adalah kewajipan anak-anak?

Apakah anak-anak kini sudah lupa siapa yang bertungkus-lumus mencari nafkah untuk membesarkan mereka? Apakah anak-anak kini sudah lupa siapa yang bertungkus-lumus menyekolahkan mereka sehingga menjadi orang yang berilmu dan berkedudukan? Siapa yang bersengkang mata menjaga mereka saat-saat mereka sakit di kala malam sepi?

Kenyataannya, siapakah insan yang menyebabkan mereka lahir ke alam dunia ini sehingga dapat mengecapi kehidupan yang selesa kini, kalau bukan kedua ibu bapa merekalah sendiri.

Allah s.w.t telah berfirman di dalam al-Quran surah Al-Israa' : 23-24

وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْكِلاَهُمَا فَلاَ تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلاَ تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلاًكَرِيمًا {23}وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا {24}

[23] Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Cih" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

[24] Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.

Dalam ayat ini jelas Allah s.w.t. melarang anak-anak melukai hati ibu bapa mereka dengan perkataan-perkataan kasar yang boleh menyinggung perasaan seperti "Cih", apatah lagi menengking herdik mereka, sangat-sangat dilarang. Sebaliknya Allah s.w.t. memerintahkan anak-anak supaya tidak berkata melainkan hanya dengan perkataan yang baik-baik dan sopan sahaja terhadap ibu bapa mereka.

Lihatlah bagaimana Allah s.w.t. meletakkan ayat tentang berbuat baik kepada ibu bapa sejurus selepas perintah mengabdikan diri kepadaNya semata-mata. Justeru memberi gambaran betapa tingginya kedudukan berbuat baik kepada ibu bapa.

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah, adakah lagi tinggal sesuatu kebaikan yang saya mesti buat terhadap ibu bapa saya yang meninggal dunia?”

“Ya, jawab Rasulullah, iaitu empat perkara: Menyembahyangkan jenazahnya dan berdoa kepadanya; memohon keampunan kepada kedua-duanya; melaksanakan apa yang menjadi tanggungjawab kedua-duanya; dan menghormati sahabat kedua-duanya, iaitu menghubungi tali silaturrahim yang engkau tidak ada hubungan melainkan disebabkan mereka dahulu yang menghubungkannya.”

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa kamu, nescaya anak-anak kamu pula akan berbuat baik kepada kamu.”

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: “Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan kedua ibu bapa.”

Dari sini, dapatlah disimpulkan antara tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapanya ialah:
  • Mentaati dan melayani dengan memberi kasih sayang sepenuhnya sebagaimana ibu bapa menyayangi ketika kecil.
  • Sentiasa mendoakan ibu bapa yang masih hidup atau meninggal dunia supaya mereka tergolong dalam golongan orang dikasihi Allah.
  • Menghulurkan bantuan kewangan kepada ibu bapa, terutama sekali ibu bapa miskin, maka amatlah besar dosa anak yang hidup selesa dan mewah, sedangkan ibu bapa hidup melarat dan menderita.
  • Melaksanakan janji ibu bapa ketika hayatnya yang pernah berazam hendak melakukan sesuatu kebajikan.
  • Mengqadakan puasa ibu bapa dan menunaikan haji untuk kedua-duanya sekiranya mereka tidak sempat menunaikannya ketika hayatnya.
  • Menghubungkan tali persaudaraan dengan teman ibu bapa dan meneruskan perhubungan baik dengan kawan ibu bapa ketika hayat mereka.
Ya Allah! Kurniakanlah kepada kami anak-anak yang sejuk mata memandang. Ameen.

Saturday, August 29, 2009

Kelas DPI 29 Ogos 2009

Salam sejahtera semua.
Hari ini @4.30pm, saya berada di dalam kelas bersama kawan-kawan sedang mengikuti kuliah IT bersama bro Mohksin Rashid, trainer kami.